Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi NASA dibuka semula

    WASHINGTON, 31 Jan – Agensi Aeronautik dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) kembali beroperasi selepas ditutup selama 35 hari, namun memerlukan masa untuk memastikan perkhidmatan dapat berjalan seperti biasa.

    Penutupan disebabkan pentadbiran Presiden Donald Trump memutuskan menutup operasi kerajaan berikutan pertikaian mengenai dana pembiayaan pembinaan tembok di sempadan Mexico.

    “Selama penutupan kerajaan kami telah melakukan sebaik mungkin untuk memelihara agensi ini,” kata Pentadbir NASA, Jim Bridenstine dalam satu perjumpaan di Washington.

    Agensi berita Xinhua melaporkan semasa penutupan kerajaan, kamera utama di Teleskop Angkasa Hubble mengalami gangguan kerana masalah perkakasan.

    NASA turut mengumumkan kelewatan pelancaran SpaceX’s yang sepatutnya dijadual pada Januari dan terpaksa ditunda ke Februari.

    Selain itu, katanya kerjasama saintifik antarabangsa juga terjejas, manakala unit pemantau operasi udara yang dibiayai NASA dan agensi angkasa Jerman terpaksa dihentikan sementara.

    Sebanyak 35 laman web NASA ditutup dan mungkin mengambil masa lebih 35 hari untuk dipulihkan.

    Selain itu, sambutan hari memperingati 17 angkasawan NASA yang terbunuh dalam tragedi Apollo 1 pada 1967, Challenger (1986) dan kapal angkasa ulang-alik Columbia (2003) yang dijadual pada Khamis ditangguhkan hingga 7 Februari.

    Pekerja NASA dijangka mendapat semula gaji pada Rabu dan Khamis, bagaimanapun tiada sebarang jaminan sama ada pihak kontraktor akan menerima bayaran. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda