Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dua lokasi di Daerah Brunei dan Muara menjadi sasaran dalam Operasi Panyap 118/2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.
Dalam operasi yang tertumpu di bilik-bilik sewa di Mukim Gadong B dan Mukim Berakas A telah memeriksa sembilan warga asing dan enam daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut.
JIPK dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, kesemua warga asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.
Sementara itu, tiga daripadanya juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(2), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Pihak JIPK turut mengongsikan satu sesi pendakwaan yang telah dilaksanakan mengikut Akta Imigresen, Penggal 17 yang mana seorang lelaki warga Bangladesh, Mohammed Shipon, 38, mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17.
Individu dijatuhkan hukuman tujuh bulan penjara serta tiga kali sebatan dan hukuman mula berkuat kuasa pada 6 November 2025.
Antara lain tujuan operasi berkenaan adalah bagi menguatkuasakan akta dan peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah JIPK termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229.
Sehubungan itu, pihak JIPK turut mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).


