Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Panyap kesan beberapa kesalahan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah melaksanakan tiga operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Panyap 2025 yang menyasarkan beberapa buah kawasan di negara ini.

    Operasi Panyap 05/2025 telah menyasarkan Pasar Tani Setenaga di Mukim Sengkurong di mana lima warga asing diperiksa dan empat orang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Hasil operasi berkenaan, tiga orang daripadanya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Manakala itu, seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

    Sementara itu, dalam Operasi Panyap 06/2025 yang dijalankan di premis perniagaan di Mukim Berakas ‘A’ dan tempat penginapan di Mukim Kianggeh, seorang warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.

    Manakala, dalam Operasi Panyap 07/2025 yang menumpukan di rumah sewa pekerja asing di Mukim Kuala Belait, 26 orang warga asing telah diperiksa dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa Undang-undang setelah gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

    Tujuan operasi berkenaan diadakan adalah bagi menguatkuasakan akta dan peraturan yang dipertanggungjawabkan di bawah JIPK termasuk Akta Anti Pemerdagangan Orang, Penggal 230 dan Akta Pencegahan Penyeludupan Orang, Penggal 229.

    Dalam pada itu, JIPK terus mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).

    ATAS & BAWAH: Pegawai dari Bahagian Penguat kuasa Undang-undang menjalankan tugas semasa operasi tersebut. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda