BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguat kuasa Undang-undang (BPU), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah menjalankan Operasi Panyap 113/2025, yang menyasarkan sebuah bilik sewa di Mukim Sengkurong, hari ini.
Menurut kenyataan JIPK, hasil daripada operasi tersebut, tujuh warganegara asing telahpun diperiksa dan empat orang daripadanya ditahan dan dibawa ke BPU bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh.
JIPK turut mengongsikan dua sesi pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17. Pendakwaan pertama terhadap Yunus Harianto bin Sutarno, seorang lelaki, warga Malaysia, berumur 48 tahun adalah merupakan kes peralihan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Individu itu dijatuhkan hukuman bagi kesalahan pertama di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mansuh.
Manakala itu, kesalahan kedua dan ketiga adalah di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais, 2006, iaitu memiliki barang-barang tegahan kastam seperti rokok, vape dan juga minuman keras. Individu tersebut telahpun mengaku bersalah bagi ketiga-tiga kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan dan tiga kali sebatan bagi kesalahan pertama, denda sebanyak $36,105 atau 14 bulan pemenjaraan bagi kesalahan kedua, manakala bagi kesalahan ketiga iaitu hukuman denda sebanyak $21,750 atau 13 bulan penjara. Ini menjadikan jumlah keseluruhan hukuman selama tujuh bulan penjara dan tiga kali sebatan dan denda sebanyak $57,855 atau 27 bulan penjara. Hukuman telah berkuat kuasa pada 18 Oktober lalu.
Sementara itu, pendakwaan kedua terhadap Eni Rohyati, seorang perempuan warganegara Indonesia, 47, telahpun mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh yang membawa kepada hukuman penjara selama empat bulan dan denda sebanyak $800.
Walau bagaimanapun, individu gagal untuk membayar denda tersebut dan diganti dengan satu bulan penjara yang mana menjadikan keseluruhan hukuman pemenjaraan beliau kepada lima bulan. Hukuman telah berkuatkuasa pada 21 Oktober lalu.
JIPK mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pesalah imigresen untuk menghubungi terus ke talian hotline JIPK di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).


