BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebuah gerai jualan di Mukim Gadong B telah menjadi sasaran dalam operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Panyap 109/2025 kendalian Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.
Menurut kenyataan JIPK, semasa operasi itu dilaksanakan, pemeriksaan dijalankan ke atas dua warga asing dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU) bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Manakala, seorang warga asing turut diarahkan untuk melaporkan diri ke BPU bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.
Operasi seumpamanya terus giat dilaksanakan oleh JIPK bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam.
Bagi sebarang maklumat berhubung dengan pesalah imigresen, JIPK mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi talian hotline JIPK 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).


