PUTRAJAYA, 22 MAC – Proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dijangka selesai tahun ini dan keseluruhan operasi pelabuhan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri menjelang 2025, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Satu memorandum persefahaman (MoU) berhubung penukaran status itu dimeterai antara Loke dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini, hari ini.
“Ini merupakan detik yang penting dan bersejarah,” kata Loke kepada media selepas majlis pemeteraian MoU itu yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Loke berkata, objektif MoU itu adalah untuk menyelia dan melancarkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri agar peralihan tersebut dapat dimuktamad tahun ini.
Menurutnya, sebelum pelabuhan itu diserahkan kepada pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 perlu dimansuhkan terlebih dahulu.
“Jadi hari ini kita telah tandatangani MoU untuk memberikan komitmen ini kepada kerajaan Sarawak.”
“Selepas ini ada beberapa proses lagi perlu dilaksanakan yang pertamanya kita kena bawa ke Parlimen untuk memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu sebab Pelabuhan Bintulu ini ditubuhkan di bawah satu Akta Parlimen pada tahun 1981,” katanya. – Bernama