Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi pelabuhan California terhenti akibat insiden kemalangan kontena

    LOS ANGELES, 10 SEPT – Puluhan kontena penghantaran jatuh dari sebuah kapal besar yang berlabuh di pelabuhan utama California kelmarin telah menghentikan operasi sementara kru bergegas untuk menghadkan kerosakan.
     
    Rakaman dari sebuah video menunjukkan kontena jatuh seperti domino dari sebuah kapal besar ketika kren bergerak di atas di Pelabuhan Long Beach, berhampiran Los Angeles.
     
    Rakaman udara mendedahkan beberapa kontena hancur apabila terjatuh ke atas apa yang kelihatan seperti kapal sokongan.
     
    Beberapa menara kontena dilihat terbabit dalam kejadian dari pelbagai bahagian kapal berdaftar Portugal bernama Mississippi.
     
    Beberapa kotak logam sepanjang 40 kaki dilihat tenggelam, manakala yang lain terapung di permukaan air, bertindih antara satu sama lain.
     
    Kontena penghantaran yang jatuh dilihat bersebelahan sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Long Beach, California, pada 9 September. – AFP
    Media tempatan melaporkan bot menyembur air ke arah kontena bagi cuba menghalang ia terapung di pelabuhan yang sibuk.
     
    Pengawal Pantai AS berkata kira-kira 67 kontena jatuh ke dalam air sekitar pukul 9 pagi, tetapi tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.
     
    “Operasi kargo telah digantung sementara di terminal ketika pasukan bertindak berusaha melindungi kontena,” kata jurucakap pelabuhan Art Marroquin.
     
    Satu zon larangan telah ditetapkan di sekitar kapal, dengan petugas kecemasan dari bomba, polis dan pengawal pantai hadir di lokasi.
     
    Pelabuhan Long Beach adalah salah satu pelabuhan paling sibuk di Amerika Syarikat, mengendalikan perdagangan bernilai AS$300 bilion setiap tahun, menurut laman webnya.
     
    Ia merupakan salah satu hab import utama bagi barangan dari Asia dan mempunyai hubungan dengan lebih 200 pelabuhan di seluruh dunia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda