Tuesday, November 26, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi pembenihan awan di Kelantan 21-23 Jun

    PUTRAJAYA, 19 JUN – Kerajaan Persekutuan Malaysia bersetuju untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun, bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menerusi satu kenyataan hari ini berkata operasi itu susulan permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan ia akan dilakukan menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
    Ahmad Zahid berkata penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta, juga telah beliau luluskan bagi menjayakan operasi pembenihan awan berkenaan.

    “Operasi yang akan dilaksanakan selama tiga hari ini, diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.

    “OPA adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024,” katanya. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 10 Jun menunjukkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa sidang media di Pusat Konvensyen Movenpick. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda