KUCHING, 6 DIS – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menjalankan operasi penguatkuasaan besar-besaran di sungai dan terminal penumpang di seluruh negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata operasi fasa pertama akan diadakan pada 21 hingga 24 Dis manakala fasa kedua dari 31 Dis hingga 1 Jan tahun hadapan. Beliau berkata operasi itu dijalankan bersempena sambutan Hari Krismas dan sesi persekolahan yang akan bermula awal tahun hadapan.
“Operasi ini juga untuk menyasarkan Kemalangan Sifar, selain untuk mencegah bot penumpang daripada membawa muatan melebihi had, memastikan semua bot memiliki Permit Pengangkutan Sungai (RTP) yang masih sah tarikh lakunya, menguatkuasakan polisi No Ticket, No Entry, menguatkuasakan polisi One Person, One Life Jacket dan lain-lain bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang semasa mengguna terminal dan pengangkutan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kim Shin berkata bagi pengusaha bot laju adalah diingatkan supaya tidak membawa lebih daripada 12 orang penumpang pada satu-satu masa.
“Semua penumpang juga harus memakai jaket keselamatan di sepanjang perjalanan menggunakan bot laju,” katanya.
Katanya, jika gagal mematuhi peraturan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pengusaha bot penumpang yang melanggar peraturan dengan mengenakan kompaun maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama