Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Peralihan dilanjutkan hingga 14 Disember

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Langkah-langkah pengawalan Operasi Peralihan iaitu arahan untuk berada di rumah atau kediaman masing-masing dari pukul 10 malam sehingga 4 pagi dilanjutkan selama dua minggu lagi iaitu bermula 1 sehingga 14 Disember.

    Jawatankuasa Pandu COVID-19, Jabatan Perdana Menteri, memaklumkan pelanjutan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Wadaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mengambil kira situasi jangkitan wabak COVID-19 serta keperluan bagi menilai dengan lebih lanjut impak Fasa Peralihan yang baru saja bermula pada 19 November 2021.

    Pelanjutan tersebut, jelas kenyataan, adalah bagi terus memastikan kebaikan dan kesejahteraan semua pihak terus terjamin. Oleh itu, orang awam dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan atau peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi membendung risiko penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

    Jawatankuasa itu menyatakan lagi sebagai langkah persediaan bagi menuju ke Fasa Endemik, bermula 1 Disember ini, individu-individu yang belum melengkapkan vaksinasi mereka dibolehkan untuk kembali bertugas ke pejabat. Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki untuk menjalani ujian ART setiap dua hari.

    Bagi kakitangan yang telah menerima satu dos vaksinasi dan sedang menunggu mendapatkan dos kedua atau dikecualikan daripada mendapatkan vaksin COVID-19 disebabkan masalah kesihatan, perbelanjaan ujian ART akan ditanggung oleh majikan masing-masing.

    Akan tetapi bagi kakitangan yang tidak bervaksin atas pilihan sendiri atau sebab peribadi, iaitu bukan dikecualikan atas sebab kesihatan, mereka hendaklah menanggung perbelanjaan ujian ART masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda