BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah merungkai penglibatan lima warga tempatan berumur 22 hingga 38 tahun dalam kegiatan penyeludupan dadah yang didalangi oleh sindiket dadah antarabangsa.

Menurut kenyataan BKN, kelima-limanya telah ditahan di lokasi yang berasingan pada minggu terakhir Mei 2025.
Siasatan pihak BKN mendapati kesemua yang ditahan telah direkrut oleh sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara jiran untuk menghantar bekalan dadah ke negara destinasi secara penyeludupan.
Empat daripada yang ditahan telah beberapa kali berjaya menyeludup dadah ke beberapa buah negara di Benua Eropah menerusi negara ketiga.
Dadah tersebut kemudian diserahkan kepada ahli-ahli sindiket yang telah ditugaskan menunggu di beberapa tempat yang ditentukan dan penyerahan dadah dibuat mengikut taktik-taktik yang biasa digunakan oleh sindiket pengedar dadah antarabangsa.
Salah seorang daripada mereka hanya berperanan merekrut penduduk tempatan untuk terlibat dalam kegiatan yang dijalankan tetapi mendapat komisen setelah penyeludupan ke negara destinasi berjaya dibuat.
Hasil daripada kegiatan mereka ini diketahui dapat meraih imbalan kewangan yang dianggarkan berjumlah $21,000 secara menyeluruh.
Anggaran jumlah dadah yang berjaya diseludup menerusi negara ketiga ialah sebanyak 68 kilogram ganja dengan nilai anggaran berjumlah lebih $1 juta di negara destinasi.
Modus operandi sindiket tersebut ialah dengan merekrut rakyat tempatan untuk memperolehi bekalan dadah yang disembunyikan di dalam bagasi khas untuk diseludup dari negara jiran ke negara lain di Benua Eropah dengan janji bayaran yang lumayan.
Segala kos penghantaran seperti penginapan, tiket penerbangan dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh sindiket berkenaan.
Selain itu, mereka juga digalakkan untuk merekrut individu lain untuk terlibat sama bagi memastikan aktiviti penyeludupan dadah dapat dijalankan secara berterusan.
Penglibatan warga tempatan dalam jenayah yang serius di luar negara adalah sangat membimbangkan.
Di kesempatan ini, BKN mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tipu helah penjenayah yang menawarkan pendapatan wang secara mudah dan lumayan.
Semua pihak perlu sentiasa berwaspada menerima tawaran kerja dengan ganjaran yang mencurigakan dan dikhuatiri boleh membawa kesalahan dari sisi undang-undang di luar negara, pemenjaraan dan mendatangkan bahaya kepada keselamatan masing-masing.
Penyertaan dalam kegiatan jenayah tanpa disedari dan sengaja bukan satu alasan pembelaan diri yang boleh diterima sebaiknya.
BKN juga tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan keselamatan dalam dan luar negara atas bantuan dan kerjasama yang diberikan ke arah menjayakan operasi ini.