Operasi Pumpung: Pelbagai kesalahan dikesan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JIPK

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Beberapa kesalahan telah dikean dalam Operasi Pumpung yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK di sini, hari ini, pada 17 November lalu, operasi telah dijalankan di satu lokasi di Mukim Sengkurong di mana seorang perempuan warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat-kuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah sewaktu pemeriksaan.

Kenyataan menyatakan bahawa perkara tersebut akan disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya kerana dipercayai menyalahgunakan syarat-syarat pas imigresen yang diberikan kepadanya.

Manakala itu, Operasi Sepadu Pumpung telah dijalankan pada 18 November, pukul 1 pagi yang menyasarkan bilik-bilik sewa di Daerah Tutong dengan melibatkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait bersama-sama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh.

Kenyataan menyatakan bahawa pemeriksaan dibuat ke atas bilik-bilik sewa dan bilik pekerja di satu lokasi di Daerah Tutong di mana tujuh orang warganegara asing yang terdiri daripada lima orang lelaki dan dua orang perempuan ditahan atas kesalahan gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah sewaktu pemeriksaan.

Pegawai penguatkuasaan membuat pemeriksaan ke atas bilik-bilik sewa dan bilik pekerja di salah satu lokasi di Daerah Tutong pada 18 November.
Pegawai penguatkuasaan membuat pemeriksaan di salah satu lokasi di Mukim Sengkurong pada 17 November lalu.

Warga asing berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK untuk disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, penguat kuasa Jabatan Buruh telah mendapati seorang lelaki warganegara Indonesia berjawatan sah Site Cleaner bagi syarikat penghawa dingin melakukan pekerjaan pembantu dapur restoran dan dipercayai tidak selaras dalam jaminan pekerja asing berkenaan.

Hasil pemeriksaan Jabatan Buruh telah mendapati beberapa kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu majikan dipercayai melakukan kesalahan penempatan pekerja tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Asing (LPA) serta penyalahgunaan jawatan.

Sementara itu, dalam Ope-rasi Pumpung JIPK yang dijalankan pada 19 November pada pukul 11 pagi di kawasan Mukim Sungai Kebun telah menahan seorang lelaki warganegara asing yang dipercayai menjalankan aktiviti jualan rumah ke rumah (berjaja) di sekitar kawasan Kampong Ayer.

Lelaki berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan untuk disiasat dan diambil tindakan selanjutnya kerana didapati telah melanggar Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17.