Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Seorang lelaki warga asing disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 semasa Operasi Pumpung yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, semasa operasi di kawasan Kampung Negalang Unat, Mukim Batu Apoi itu, lelaki berkenaan didapati bekerja tidak mengikut apa yang tercatat dalam pas kerja yang dibenarkan.
Kenyataan menjelaskan, operasi dan pemeriksaan berkenaan bertujuan untuk menguatkuasakan Akta dan Peraturan Imigresen, Akta dan Peraturan Pasport dan memastikan ia dipatuhi serta dalam usaha mengesan pesalah imigresen.
Di samping itu, ia juga dijalankan bagi menguatkuasakan Perintah Pencegahan Penyeludupan Orang 2019 dan Perintah Anti Pemerdagangan Orang 2019 dan apa jua kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan di Negara Brunei Darussalam.
Dalam pada itu, JIPK juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja masih sah kerana menjadi kesalahan sekiranya pekerja tersebut bekerja dengan menggunakan pas imigresen yang mansuh.
Selain itu, JIPK juga menasihatkan supaya majikan sentiasa mengetahui keberadaan pekerja setiap masa.
