Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Operasi Sapu Bersih yang dikendalikan baru-baru ini oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama agensi penguat kuasa undang-undang iaitu JKED, JIPK, Jabatan Buruh dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama menyasarkan beberapa kawasan di kedai-kedai dan tempat tinggal pekerja di bangunan Tutong Central Mall, Pekan Tutong.
Semasa operasi berkenaan, JKED telah menahan enam orang atas kesalahan memiliki rokok di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006.
Manakala Jabatan Buruh mendapati tujuh kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 seperti kerja lebih masa dan tidak dibayar, cuti rehat tidak diberi, bekerja lebih masa dari yang ditetapkan, cuti awam tidak diberikan oleh majikan, cuti tahunan tidak dibayar, tempat tinggal yang tidak bersih serta melanggar syarat-syarat lesen.
Semua barang-barang bukti disita dan kesemua suspek ditahan untuk siasatan selanjutnya.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Jenayah Polis Daerah Tutong, ASP Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani dan melibatkan seramai 25 pegawai serta anggota-anggota yang terdiri daripada Balai Polis Tutong termasuk daripada agensi penguatkuasaan.
PPDB dan agensi penguat kuasa undang-undang lain akan terus komited menjalankan usaha dalam membanteras, merisik serta membuat pemantauan berterusan ke atas sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di Negara Brunei Darussalam.