Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Dalam usaha untuk memastikan para pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melakukan operasi sekatan jalan raya di beberapa lokasi di negara ini, baru-baru ini.
Pada 25 hingga 28 Mei lalu, empat operasi sekatan jalan raya berasingan telah dikendalikan di Daerah Belait oleh Balai Polis Panaga, Balai Polis Labi dan Balai Polis Sungai Liang, PPDB.
Operasi sekatan jalan raya tersebut telah dijalankan di kawasan Jalan Tengah Seria, Lorong 14 Panaga, Sungai Bakong serta kawasan Kampung Labi.
Sepanjang sekatan itu, PPDB telah memeriksa 119 buah kenderaan dan hasil daripada operasi tersebut, dua orang pemandu telah dikeluarkan kompaun polis, tujuh peringatan dikeluarkan dan 79 pemeriksaan terhadap kenderaan dibuat.
Seramai 31 orang anggota balai terlibat dalam operasi berkenaan dengan diketuai oleh pegawai menguasa balai polis masing-masing.

Menurut statistik kemalangan yang telah direkodkan PPDB, di mana kemalangan sendiri melibatkan sebuah kenderaan pada tahun 2019 ialah sebanyak 656 dan pada bulan Januari hingga April 2020, sebanyak 182 direkodkan.
Kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan atau lebih, pada tahun 2019 telah merekodkan sebanyak 512 dan pada bulan Januari hingga April 2020, sebanyak 149 kemalangan.
Manakala kemalangan yang meragut nyawa direkodkan sebanyak 12 pada tahun 2019 dan tiga direkodkan pada bulan Januari hingga April 2020.
Operasi antara lain bertujuan bagi meningkatkan disiplin masyarakat sebagai pengguna jalan raya serta mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan sesama pengguna jalan raya yang lain.
PPDB akan sentiasa memberi peringatan serta menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.