Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 28 Sept – Bagi mengenal pasti kenderaan yang disyaki terlibat dengan mana-mana kegiatan jenayah di negara ini, Balai Polis Labi dan Skuad Tindakan Segera (STS) telah mengendalikan Operasi Sekatan Jalan Raya Hujung Minggu di kawasan Simpang Tiga Jalan Merangking Labi di sini, malam tadi.
Seramai tujuh orang anggota balai polis berkenaan dan anggota STS terlibat dalam pemeriksaan mengejut tersebut yang diketuai oleh Sarjan Keeleh bin Bidin.
Bagaimanapun, tiada kesalahan ditemui sepanjang sekatan jalan raya itu diadakan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) menekankan, pihak mereka akan secara berterusan mengendalikan operasi seperti itu bagi memastikan pengguna-pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, selain berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan lalu lintas yang mungkin berpunca daripada kecuaian pemandu sendiri.
