Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D, Ampuan Irma Susanti
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Bagi memastikan para pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) giat melaksanakan operasi sekatan jalan raya.
Di Daerah Belait, dua operasi sekatan jalan raya telah dijalankan pada minggu ini yang tertumpu di kawasan Jalan Tengah lorong 14 Panaga Seria berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah Belait dan kawasan Jalan Tengah Anduki, Seria. Operasi di kawasan Jalan Tengah (Lorong 14 Panaga) telah diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Panaga, Inspektor Mikhail bin Abdullah dan melibatkan 10 orang anggota balai.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis telah mengeluarkan surat peringatan (Polis 190) kepada pemandu-pemandu yang terlibat untuk tampil ke balai bagi siasatan dan penjelasan lanjut.
Operasi di kawasan Jalan Tengah Anduki, Seria pula menyaksikan tujuh orang pemandu dikeluarkan surat peringatan (Polis 190) bagaimanapun, tidak ada perkara-perkara yang mencurigakan berkaitan kesalahan jenayah ditemui.
Mengetuai operasi berkenaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Inspektor Percubaan (P/I) Boniface anak Janlita.

Manakala itu, di Daerah Tutong, operasi serupa juga telah dijalankan oleh Balai Polis Tutong dengan melibatkan seramai 12 orang anggota dan diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Percubaan (P/I) Abdul Hakim bin Haji Mohd Salleh.
Operasi yang dijalankan di hadapan Balai Polis Tutong itu telah mendapati enam kesala-han dan tindakan kompaun telah dikeluarkan kepada pemandu-pemandu yang terlibat.
Antara kesalahan yang didapati ialah mengubahsuai kenderaan, tayar tidak selamat untuk digunakan (nampak benang) dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah.
Sekatan jalan raya ini dibuat adalah bagi membuat pemeriksaan mengejut kepada para pemandu yang didapati melanggar peraturan-peraturan lalu lintas serta mengenal pasti kenderaan yang disyaki terlibat dengan mana-mana penglibatan jenayah di negara ini.
Di Daerah Temburong pula, Biro Kawalan Narkotik (BKN) mengendalikan operasi bersepadu di Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan Temburong melibatkan seramai 43 orang penguat kuasa dari lapan buah agensi kerajaan.
Operasi yang diketuai pasukan BKN Temburong itu melibatkan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan cawangan Temburong, Jabatan Hal Ehwal Ugama Temburong, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), PDB, Jabatan Pengangkutan Darat dan Biro Keselamatan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Walaupun pos Kawalan Imigresen Kampung Puni dipenuhi kenderaan yang berbaris panjang bersempena dengan cuti penghujung tahun ini namun operasi berjalan lancar dan hasil daripada operasi itu, PDB mendapati tujuh kesalahan lalu lintas dan JKED mencatatkan dua kes berkaitan barangan tegahan (satu kes 12 paket rokok) dan membawa tiga paket ayam beku 5.5kg. Operasi sepadu berkenaan bertujuan untuk mencegah orang awam yang melintasi sempadan membawa keluar dan masuk barang-barang tegahan dan terkawal, selain untuk mengeratkan silaturahim dan kerjasama yang padu antara agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini. Operasi sepadu BKN Temburong merupakan kali kedua dijalankan pada tahun ini.