Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Selongkar diteruskan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Majikan tidak membayar gaji dan pekerja asing bekerja tidak mengikut kebenaran lesen berpatutan antara kesalahan yang ditemui oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, semasa mengadakan Operasi Selongkar 44/2021 pada 25 Februari lalu yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Semasa pemeriksaan di dua buah tempat yang berasingan, Kampung Mentiri, Jalan Kota Batu bermula jam 9:50 pagi, para pegawai penguat kuasa dari bahagian tersebut telah mendapati pekerja asing berjawatan sah pelayan restoran melakukan pekerjaan jurujual di kedai runcit sayur-sayuran.

    Manakala pekerja asing berjawatan amah melakukan pekerjaan jurujual ubat-ubatan tradisional di pondok ubat-ubatan tradisional.

    Majikan juga dipercayai gagal dan lambat membuat pembayaran sebulan gaji pekerjanya. Jika sabit kesalahan, Jabatan Buruh akan mengenakan denda $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Manakala bagi kesalahan bekerja tidak mengikut kebenaran LPA iaitu bekerja di syarikat lain, penyalahgunaan jawatan serta melakukan kegiatan yang berlainan, jika sabit kesalahan, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan denda kompaun iaitu didenda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.

    Jabatan Buruh juga mendapati kesalahan penempatan pekerja asing berjawatan amah tidak mengikut kebenaran Lesen Pekerja Domestik. Jika sabit kesalahan, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan denda kompaun sebanyak $300 dan $600 bagi kesalahan kedua.

    Pegawai penguat kuasa mengadakan pemeriksaan ke atas beberapa tempat di Kampung Mentiri dalam Operasi Selongkar. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda