Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sebanyak 87 kesalahan telah didapati dalam operasi sepadu yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang lain semalam.
Agensi-agensi penguatkuasaan yang turut terlibat dalam operasi sekatan jalan raya yang menumpukan kawasan Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah bermula sekitar 8 malam itu adalah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang menguatkuasakan peruntukan perundangan masing-masing.
Dalam operasi itu, JSKLL mencatat-kan 56 kes kompaun dan satu kes doket, JIPK mencatat satu kes, lapan kes di bawah bidang kuasa JKED, 20 kes kompaun JPD dan satu kes di bawah BKN.
PPDB dalam kenyataannya berharap, dengan operasi-operasi yang kerap dijalankan itu akan memberikan panduan dan kesedaran akan kepentingan mematuhi peraturan undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, PPDB turut memohon masyarakat awam agar turut sama memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kepada agensi-agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat yang berguna dalam matlamat menangani perkara-perkara jenayah hingga ke peringkat akar umbi, demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/05/page-6-A_01062020.jpg)