Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa telah mengadakan Operasi Sepadu pada kira-kira pukul 11 malam di beberapa buah lokasi sekitar Kampung Sungai Bera, Kuala Belait, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, di sini, menyatakan operasi berkenaan melibatkan seramai 34 anggota yang terdiri daripada PPDB, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Buruh.
Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan, mendapati kesalahan pemilikan barang tegahan di bawah Akta JKED iaitu sebanyak empat karton dan lapan paket rokok pelbagai jenama. Semua barang tegahan berkenaan telah dirampas oleh pihak JKED untuk tindakan lanjut.
PPDB menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara, khususnya berkaitan pemilikan dan penjualan barang tegahan.
Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak penguatkuasa membanteras aktiviti yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara.




