Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Sepadu kesan pelbagai kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Hasil Operasi Sepadu yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, pemilikan minuman keras, pelanggaran undang-undang buruh dan khalwat telah dikesan serta ditangani di beberapa lokasi utama Bandar Seri Begawan.

    Operasi berkenaan melibatkan seramai 197 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (HTU), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) serta Bahagian Penguat kuasa Ugama (BPU).

    Operasi itu diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara Bahagian Operasi (A/OCPD OPS), DSP Pengiran Haji Khairul Hakimin bin Pengiran Haji Kamaludin, bersama pegawai dan anggota PPDB serta agensi-agensi terlibat.

    Sasaran operasi tertumpu di beberapa gedung perniagaan di kawasan Jalan McArthur, Jalan Sultan, Jalan Roberts dan bangunan flat di kawasan Jalan Berangan, manakala sekatan jalan raya turut diadakan di laluan utama ibu negara.

    Operasi PPDB merekodkan sebanyak 186 kenderaan diperiksa, dua pemandu dikompaun kerana tiada lesen memandu sah dan empat pemandu diberikan peringatan.

    JKED pula merekodkan empat individu ditahan atas pemilikan minuman keras dan rokok di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006, BKN telah menahan seorang lelaki atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dan JPE menemukan sebuah rumah dikesan menggunakan meter elektrik tanpa paparan monitor.

    Selain itu, Jabatan Buruh merekodkan seramai 46 pekerja daripada 30 syarikat diambil keterangan dan beberapa majikan didapati melanggar Perintah Pekerjaan 2009 serta JIPK juga merekodkan dua individu didapati melanggar Akta Imigresen.

    JBBSB pula telah mencatat tiga kesalahan di bawah Bab 12(1)(f), Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30 (kenderaan terbiar) dan BPU telah mendapati satu pasangan lelaki dan perempuan warga tempatan beragama Islam disyaki melakukan khalwat di sebuah bilik sewa.

    Operasi Sepadu ini merupakan langkah proaktif pihak berkuasa dalam memperkukuh semangat kerja berpasukan, membendung kegiatan jenayah, serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan negara, khususnya menjelang Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah.

    Semua di atas: Antara suasana semasa operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda