Tuesday, March 4, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi sepadu rampas karton rokok, minuman keras

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Sejumlah 860 karton rokok pelbagai jenama dan minuman keras pelbagai jenis sebanyak 97 tin dan 21 botol telah berjaya dirampas dalam satu operasi sepadu melibatkan Polis Marin (POLMAR) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di kawasan perairan Sungai Bunga.

    Rampasan bermula atas maklumat mengenai pergerakan mencurigakan di perairan berkenaan di sekitar waktu subuh dan pasukan rondaan ABDB mengesan dua buah perahu yang dipercayai membawa muatan barang tegahan.

    Menyedari kehadiran pasukan operasi, kedua-dua perahu tersebut cuba melarikan diri secara berasingan. Salah sebuah perahu memasuki kawasan hutan bakau dan suspek kemudiannya meninggalkan perahu dan melarikan diri ke dalam hutan. Sementara perahu kedua berjaya melepaskan diri dan tidak dapat dikesan.

    Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Semua barang rampasan, termasuk perahu, telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    Pasukan keselamatan akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.

    PPDB juga menyeru kepada orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau menyalahi undang-undang, khususnya di kawasan perairan, demi memastikan keamanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam.

    Perahu yang membawa barang tegahan.
    Antara barang yang dirampas. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda