Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pelbagai kesalahan ditemui dalam operasi sepadu yang dilakukan oleh tujuh agensi penguat kuasa undang-undang di negara ini yang menyasarkan dua lokasi kediaman pekerja asing di bawah tadahan Daerah
Tutong, malam kelmarin.
Operasi melibatkan seramai 113 orang keanggotaan dan ahli dari Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguat kuasa Ugama (BPU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Jabatan Buruh itu telah diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis, Penolong Penguasa Polis (ASP) Shamsulariffin bin Haji Abdul Wahab.
Pemeriksaan mengejut ke lokasi sasaran pertama, di kawasan Jalan Lubok Meranti, Tutong telah mendapati dua warga tempatan, seorang lelaki dan wanita terlibat dalam kesalahan BKN kerana dipercayai memiliki peralatan dadah, kesalahan JKED membabitkan dua warga Indonesia kerana memiliki tujuh karton rokok pelbagai jenis dan satu pas khas dikeluarkan ke atas dua warga Indonesia atas kesalahan JIPK.
Manakala itu, sasaran lokasi kedua yang dijalankan di kawasan Kampung Lubok Pulau, Tutong telah menemukan satu kesalahan di bawah akta JKED yang turut merampas satu karton dan tujuh paket rokok pelbagai jenama dan satu botol minuman keras.
Sehubungan dengan itu, PDB memohon orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama yang padu dalam penyaluran maklumat berkaitan jenayah kepada agensi-agensi penguat kuasa undang-undang di negara ini bagi tindakan sewajarnya dan ini juga membuktikan bahawa kerajaan sangat mengambil berat dan amat serius dalam perihal pencegahan dan pembanterasan apa jua kegiatan jenayah dan perlanggaran undang-undang di negara ini bagi memastikan rakyat dan penduduk sentiasa dalam keadaan selesa, aman dan harmoni.