Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – OPERASI bersepadu antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (UKED) selama dua hari baru-baru ini telah berhasil menemukan beberapa kesalahan di RPN Panaga, Kuala Belait dan kawasan Bangunan Dermaga Temburong.
Operasi melibatkan pasukan daripada Daerah Polis Belait yang diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait serta pegawai dan anggota JKED cawangan Kuala Belait bermula pada 16 Disember kira-kira jam 3:15 petang di sebuah rumah di RPN Panaga.
Hasil daripada pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan memiliki barang tegahan berupa lima buah karton rokok dipercayai untuk dijual.
Manakala pada 17 Disember, satu lagi operasi pencegahan dan pemantauan jenayah dijalankan oleh Balaí Polis Temburong untuk mengesan kegiatan jenayah di kawasan Bangunan Dermaga, Pekan Bangar.
Berikutan makluman yang diterima, seorang lelaki tempatan yang bukan sahaja menjual sayur-sayuran tetapi dipercayai menjual barang tegahan telah ditahan dan sebanyak 18 kotak rokok telah dirampas semasa pemeriksaan dijalankan.
Kesemua barang tegahan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan selanjutnya.
PPDB menyarankan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah dan yang menyalahi undang-undang di negara ini disalurkan segera ke Balai Polis berdekatan ataų melalui talian kecemasan 993.