Wednesday, September 18, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Sepadu temui pelbagai kesalahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Beberapa kesalahan telah direkodkan sepanjang Operasi Sepadu Pasukan Polis Diraja Brunei yang diadakan 13 September lalu yang melibatkan seramai 180 pegawai dan anggota dari pebagai jabatan.

    Operasi berkenaan melibatkan Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran BSB (JBBSB) dan Jabatan Perkhidmatan Eletrik (JPE).

    Operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara Bahagian Operasi (A/OCPD OPS), DSP Pengiran Haji Khairul Hakimin bin Pg Haji Kamaludin dan juga Pegawai Penyiasat Jenayah Daerah Polis Brunei Muara (DSP), Mohammad Amerol bin Haji Metussin itu tertumpu di gedung-gedung perniagaan di Bandar Seri Begawan secara serentak di kawasan Jln McArthur, Jln Sultan dan Jln Roberts.

    Dalam operasi berkenaan, JKED telah menahan enam orang atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok dibawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006, manakala BKN telah menahan lima orang lelaki atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah iaitu menggunakan dadah terkawal dan memiliki alat dipercayai untuk menghisap dadah.

    JPE pula telah mendapati tiga buah premis melakukan kesalahan dan dipotong bekalan elektrik dengan Jabatan Buruh pula telah mengambil keterangan daripada 65 pekerja dan mendapati kesalahan-kesalahan majikan dibawah Perintah Pekerjaan 2009 dan JBBSB turut mendapati sebuah restoran membuat kesalahan membuang sampah perniagaan di kawasan belakang premis.

    Objektif operasi adalah bagi memastikan pelaksanaan perjalanan Perhimpunan Dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah di Daerah Brunei dan Muara berjalan dengan lancar melalui pendekatan pencegahan jenayah.

    Antara lain objektif operasi sepadu berkenaan juga adalah sebagai tindakan proaktif bagi mengeratkan lagi kerja berpasukan khususnya bagi mencegah kejadian yang melanggar peraturan dan undang-undang di negara ini dan sekaligus membendung sebarang kegiatan jenayah sebelum Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Tahun 1446 Hijrah di Daerah Brunei dan Muara.

    Suasana sekitar operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda