Saturday, December 28, 2024
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Siaga catat pelbagai kesalahan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Empat kesalahan didapati di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan semasa pemeriksaan dilakukan bagi kegiatan teksi sapu dan kegiatan potong rumput di kawasan Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Pemeriksaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dalam Operasi Siaga Bersepadu itu antara lain bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan undang-undang dipatuhi oleh para majikan.

    Daripada empat kesalahan itu, Jabatan Buruh mendapati satu kesalahan di bawah Bab 112 Majikan melanggar syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Domestik iaitu pekerja terlibat dalam kegiatan perniagaan, di mana pekerja berjawatan pemandu persendirian didapati melakukan pekerjaan sebagai teksi sapu.

    Manakala bagi kesalahan kegiatan potong rumput mendapati tiga kesalahan bawah Bab 112(2) Melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing di mana majikan sah tidak memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerjanya.

    Pada masa yang sama, pihak Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah menahan dua warga Bangladesh untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.

    Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Darat juga telah mengenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 56 Akta Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 kerana telah menggunakan kenderaan persendirian bagi tujuan perniagaan tanpa permit yang sah dan di bawah Seksyen 31 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya Penggal 68 iaitu memandu dengan menggunakan tayar yang botak dan nampak benang.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan asal dan majikan yang menjamin boleh dikenakan kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut dan jika gagal membayar kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah. Pada masa yang sama, Lesen Pekerja Asing dan Lesen Perkhidmatan Domestik majikan tersebut boleh dibekukan serta tidak dibenarkan mengambil pekerja-pekerja asing.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti mengarahkan pekerja-pekerja melakukan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan dalam lesen dan pekerja-pekerja yang di bawah jaminan hendaklah bekerja di syarikat yang menjamin dan tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan Lesen Perkhidmatan Domestik. Majikan juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 pada waktu bekerja atau 7298989 semasa di luar waktu bekerja.

    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda