Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Empat kesalahan didapati di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan semasa pemeriksaan dilakukan di kegiatan menjahit kusyen dan sofa di kawasan Jalan Muara, baru-baru ini.
Pemeriksaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh dalam Operasi Siaga 230/2024 itu antara lain bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Dari empat kesalahan itu, dua kesalahan di bawah Bab 112(2) Menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh yang mana majikan didapati telah menggaji pekerja asing jaminan pas lawatan dan menggaji pekerja asing daripada syarikat lain berjawatan tukang besi di bawah kegiatan pembinaan.
Manakala dua lagi kesalahan di bawah Bab 71 Gagal memberikan cuti tahunan dan Bab 70 Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan asal dan majikan yang menjamin boleh dikenakan kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut dan jika gagal membayar kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti majikan yang berkeinginan menggaji pekerja asing hendaklah mendapatkan lesen dari Pesuruhjaya Buruh dan pekerja-pekerja asing yang dijamin hendaklah diberikan pekerjaan dan bekerja di syarikat sendiri.
Selain itu, pekerja tersebut juga hendaklah diberikan cuti tahunan dan memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 pada waktu bekerja atau 7298989 semasa di luar waktu bekerja.