Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Enam kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 didapati dilakukan oleh majikan dalam Operasi Siaga 181/2024 yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh, baru-baru ini.
Menurut kenyataan, operasi tersebut tertumpu pada kegiatan menjual aksesori dan membaiki telefon bimbit di bangunan komersial Kampung Tanjong Bunut telah mendapati kesalahan Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh di mana majikan telah menggunakan pekerja jaminan syarikat lain.
Selain itu, Bab 112(2) kesalahan majikan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerjaan yang dilakukan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan di mana pekerja berjawatan sebagai tukang jahit didapati melakukan pekerjaan sebagai membaiki telefon bimbit dan menjual aksesori.
Kemudian, di bawah Bab 82 majikan tidak menyediakan alat pertolongan cemas, Bab 65 pekerja bekerja melebihi jam yang ditetapkan, Bab 63 majikan tidak memberikan cuti rehat dan Bab 39 majikan tidak membayar kerja lebih masa.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut, dan jika gagal membayar denda kompaun, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti menjalankan kegiatan selaras dengan aktiviti yang dibenarkan dan mematuhi syarat-syarat Lesen Pekerja Asing di samping pekerja-pekerja hendaklah melakukan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan.
Selain itu, majikan juga diingatkan menyediakan alat pertolongan cemas di premis-premis, memberikan cuti rehat sehari dalam mana-mana hari dalam seminggu dan membayar bayaran kerja lebih masa.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989, di luar waktu bekerja.




