Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi STS dipantau ketat

    LABUAN, 11 MEI – Usaha pemindahan kargo berbahaya secara kapal-kekapal (STS) dalam had pelabuhan Teluk Victoria di sini, akan dipantau secara ketat dengan mengambil kira aspek impaknya terhadap alam sekitar.

    Ketika menegaskan perkara itu, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Datuk P Kamalanathan Panchanathan berkata pemantauan ketat sedemikian sememangnya dilaksanakan setiap kali aktiviti STS tersebut dijalankan.

    “Pemantauan sedemikian amat wajar memandangkan jarak kawasan himpitan yang dibenarkan bagi pemindahan STS dengan taman marin Pulau Kuraman.

    “Malah, kita sama sekali tidak boleh cuai dalam mengendalikan bahan berbahaya yang berisiko daripada segi impak alam sekitar, terutamanya terhadap ekosistem serta hidupan marin di Pulau Kuraman.

    “Oleh itu, pihak pengendalinya perlu melaksanakan aspek pengurusan risiko bagi memastikan tiada sebarang kejadian tumpahan minyak ketika dan selepas operasi STS dijalankan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Kamalanathan berkata, kerajaan Labuan telah meluluskan enam buah kawasan himpitan bagi tujuan STS yang mencukupi bagi menampung sehingga 12 kapal untuk aktiviti STS pada masa yang sama.

    Beliau mengulas kejayaan Victoria STS (Labuan) Sdn Bhd yang berpangkalan di sini, mencatat lembaran baharu dalam pengendalian kargo apabila menjalankan operasi pemindahan kargo minyak mentah secara STS buat pertama kalinya di had pelabuhan Teluk Victoria, Labuan, semalam.

    Syarikat yang mempunyai kepakaran khusus dalam pengendalian kargo gas cecair dan petroleum luar pesisir, telah menerima lesen pertama pada 31 Julai pada tahun lalu bagi mengendalikan operasi STS membabitkan produk minyak dan gas cecair dalam had pelabuhan Teluk Victoria di Labuan.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benjamin Bernard Bijion berkata operasi sedemikian akan dijalankan dalam keadaan cuaca yang baik bagi memastikan keselamatan pemindahan kargo dalam ruang alam sekitar yang ditetapkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda