Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operasi Waspada: 10 kesalahan dilakukan majikan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Waspada 145/2025 di beberapa tempat di kawasan Daerah Brunei dan Muara pada 24 Julai yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    Menurut kenyataan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pemeriksaan ke atas beberapa kegiatan trak makanan telah mendapati sebanyak 10 kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu gagal membayar gaji kerja lebih masa, gagal memberi cuti rehat, cuti pada hari kelepasan awam, cuti tahunan, cuti sakit dan bekerja pada hari rehat.

    Kesalahan lain termasuk, tempat kegiatan bukan di tempat yang diisytiharkan dan dibenarkan oleh jabatan, menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh yang mana majikan didapati menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain berjawatan sebagai pelayan dan dua kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan penolong tukang masak melakukan pekerjaan menjual nasi katok dan menempatkan pekerja asing di kegiatan trak makanan.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar akta tersebut dan jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak akta pekerjaan yang berkenaan.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    ATAS & BAWAH: Pemeriksaan dijalankan ke atas beberapa kegiatan trak makanan di beberapa tempat di Daerah Brunei dan Muara. – GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH
    GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda