Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Waspada 37/2025 di Kampung Sinarubai pada 25 Februari lalu, dengan tujuan menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas pejabat dan tempat tinggal pekerja-pekerja asing bagi kegiatan pembinaan telah mendapati sembilan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 39, majikan gagal membayar kerja lebih masa; Bab 63, majikan tidak memberikan cuti rehat, Bab 64, bekerja pada hari rehat; Bab 70, majikan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan; Bab 71, majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja; Bab 72, gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan; Bab 80, gagal menyediakan tempat tinggal bersih yang mencukupi dan sempurna; Bab 81, tempat tinggal pekerja tidak menepati kehendak undang-undang; dan Bab 112(2) Kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan sebagai juruelektrik didapati melakukan kerja-kerja pentadbiran.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278 dan jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi setiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.