Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 APRIL – Sebanyak enam kesalahan Akta Pekerjaan, Penggal 278 semasa Operasi Waspada 64/2025 Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh yang tertumpu di Kampung Pengkalan Batu baru-baru ini.
Kesalahan yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 44 membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan dalam undang-undang dan Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Manakala dua kesalahan di bawah Bab 112(1) menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh yang mana majikan didapati menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain dan didapati lesen pekerja asing tersebut telah mansuh.
Sementara itu, dua kesalahan Bab 112(2) iaitu kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana pekerja asing yang berjawatan sebagai tukang katok daripada pekerja kegiatan kedai jahit melakukan pekerjaan sebagai mekanik kereta dan majikan menjamin gagal memberikan pekerjaan.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan dan jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti tidak membuat pemotongan gaji yang tidak dibenarkan dalam undang-undang, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Selain itu, diingatkan supaya tidak menggaji pekerja asing jaminan syarikat lain serta hendaklah membaharui lesen pekerja asing sebelum mansuh, pekerja hendaklah diberikan pekerjaan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Buruh dan majikan hendaklah bertanggungjawab memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminannya.
Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.
Semua di atas: Suasana sekitar operasi berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN BURUH