Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Operator 911 bimbing ibu melahirkan anak di rumah

    NASHVILLE, 6 OGOS – Apabila panggilan 911 masuk mengatakan seorang wanita di Nashville akan melahirkan anak secara tiba-tiba, pengendali kecemasan Kaitlyn Kramer berkata latihannya berjaya membantu apabila dia berjaya membimbing ibu tersebut dengan bantuan orang ramai di situ melahirkan bayi lelaki yang sihat.

    Audio panggilan pada 7 Julai lalu mendedahkan suara Kramer yang tenang membimbing proses itu walaupun suara-suara di sebelah sana semakin gelisah apabila air ketuban ibunya pecah dan kepala bayi itu mula kelihatan.

    Kramer ialah seorang pegawai latihan untuk Jabatan Komunikasi Kecemasan Nashville.

    “Walau apa pun panggilan masuk, awda perlu bijak mengawal keadaan,” kata Kramer, sambil menambah bahawa dia harus ingatkan diri untuk bertenang.

    “Kami akan melakukan ini bersama-sama,” Kramer memberitahu rakan ibu tersebut melalui telefon. Sejurus kemudian, pemanggil menjerit teruja bahawa anak damit itu berjaya dilahirkan tetapi menyebut bahawa tali pusat terlilit di lehernya.

    Kramer berkata orang ramai dapat membebaskan lilitan di leher anak damit itu dan tidak lama kemudian, Kramer dapat mendengar tangisan pertamanya melalui telefon.

    “Apabila saya memikirkan anak damit yang pertama dilahirkan, perkara terbesar bagi saya ialah saya mahu mendengar adalah tangisannya,” kata Kramer. “Dan dia melakukannya sendiri.”

    Keseluruhan panggilan berlangsung kira-kira lapan minit sebelum ambulans tiba dan Kramer sempat mengucapkan tahniah kepada ibu dan orang ramai di atas kerja yang dilakukan dengan baik. Keluarga itu tidak menjawab permintaan untuk temu duga.

    “Saya rasa bahagian kegemaran saya tentang keseluruhan situasi ini ialah terdapat juga seorang lagi kanak-kanak yang muda di dalam bilik itu, mungkin berumur antara tujuh dan 10 tahun,” kata Kramer “Dia mula bercakap dengan anak damit itu mengalu-alukannya ke dunia. Dan itu benar-benar mencairkan hati saya.”

    Kramer berkata ini adalah kali kedua dia membantu proses kelahiran melalui talian 911.

    “Kami mendapat banyak peristiwa yang menyedihkan di sini. Tugas kami sukar,” kata Kramer. “Ini adalah salah satu sebab yang mengingatkan saya bahawa apa yang saya lakukan adalah penting dan ia hanya membuatkan saya gembira untuk melakukan apa yang saya lakukan.” – AP

    Kaitlyn Kramer berjaya membimbing seorang ibu melahirkan anaknya melalui telefon pada 7 Julai. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda