Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Sebanyak 20 buah syarikat telah diberikan amaran dengan 13 daripadanya dikenakan kompaun semasa OPKEMAS yang dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) di Mukim Serasa, Mukim Berakas dan Mukim Mentiri, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPBD, syarikat-syarikat berkenaan dikenakan denda $250 kerana melanggar Peraturan-peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 iaitu meletakkan, menggunakan, menghalang, mempamerkan barang-barang di kawasan petak letak kenderaan, kawasan kaki lima dan kawasan landskap di premis perniagaan dan perusahaan tempat syarikat-syarikat berkenaan beroperasi
Syarikat-syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda tersebut.
Sehubungan itu, pihak Autoriti Perancang melalui JPBD, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang awam, pemilik-pemilik perniagaan dan perusahaan untuk mematuhi undang-undang perancangan dengan mendapatkan Kebenaran Perancangan bagi setiap kemajuan dan penggunaan tanah.