Pengacara Oprah Winfrey menerima kecaman warganet selepas memberitahu dia mengambil ubat-ubatan bagi membantu menurunkan berat badan.
Menerusi satu temu bual bersama People, Winfrey, 69, berkata penurunan berat badannya itu hasil ubat-ubatan dan mengakui dirinya turut menjalani gaya hidup lebih sihat.
Winfrey memberitahu dia pernah memiliki berat badan sehingga 107 kilogram dan kini berjaya menurunkan 18 kilogram dalam masa beberapa bulan, kongsi mStar.
“Saya kini mengambil ubat tersebut (ubat kurus) kerana saya rasa saya memerlukannya sebagai alat untuk menguruskan berat badan.
“Secara faktanya, terdapat preskripsi yang diluluskan daripada segi perubatan untuk menurunkan berat badan dan kekal sihat.
“Saya rasa kini lebih sihat dan tidak lagi dimalukan dengan isu berat badan. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan lagi,” katanya.
Pun begitu, rata-rata warganet menyifatkan tindakan pengacara itu sebagai hipokrit kerana Winfrey merupakan salah seorang jurucakap untuk Weight Watchers yang merupakan sebuah program penurunan berat badan. – Agensi
