Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Tiga orang warga asing telah ditahan semasa Operasi Kabat 52/2024 yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Bandar Seri Begawan di sebuah perusahaan taman permainan dan kafe di Mukim Kilanas, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, semasa operasi itu, lapan orang warga asing telah diperiksa dan tiga daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.
Seorang daripadanya diperca-yai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan manakala dua lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 55 (4)(a)(b)(c) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Bagi maklumat berhubung dengan pesalah imigresen, JIPK mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).


