Saturday, January 11, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat kesan lima kesalahan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Lima orang warga asing telah diperiksa dalam Operasi Kabat yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, Operasi Kabat 134/2024 yang dijalankan menyasarkan beberapa buah lokasi di Mukim Gadong, di mana seorang daripada warga asing tersebut telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 (4) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.

    Sementara itu, JIPK turut mengongsikan empat kes pendakwaan warga Indonesia yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17, yang mana, Imam Suwardini, 55, telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak $9,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan setelah beliau mengaku bersalah melanggar Bab 55(1)(e) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu memberi pekerjaan kepada pesalah-pesalah imigresen.

    Manakala Hanifuddin, 34, juga turut dijatuhkan hukuman lima bulan penjara dan tiga kali sebatan kerana mengaku bersalah melanggar Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam setelah pas imigresennya mansuh.

    Sementara, Sarjono, 42 tahun dan Nur Rohman, 36 tahun, yang masing-masing turut dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dan tiga kali sebatan setelah mengaku bersalah melanggar Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam setelah pas imigresen mereka mansuh.

    Hukuman berkuatkuasa mulai dari hari pertama mereka direman iaitu pada 28 November lalu, dan sesi pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Hajah Normazdina binti Haji Mohd Maskub dan dijalankan oleh pegawai pendakwa JIPK, Haminah binti Haji Awang Salleh.

    es-kes berkenaan merupakan susulan daripada Operasi Kabat 132/2024 yang telah dijalankan oleh JIPK sebelum ini di tempat tinggal pekerja asing di Mukim Kota Batu.

    Pegawai penguatkuasaan undang-undang menjalankan pemeriksaan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda