Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    OPS Kabat kesan pelbagai kesalahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah melaksanakan sebuah operasi penguatkuasaan undang-undang di bawah Operasi Kabat 136/2024 yang menyasarkan beberapa buah rumah dan bilik sewa di Mukim Kilanas, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIPK, di sini, semasa operasi berkenaan, pemeriksaan telah dijalankan ke atas 11 orang warganegara asing yang mana enam orang daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Mereka yang ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di Negara Brunei Darussalam setelah pas imigresen mereka mansuh.

    Di samping itu, JIPK turut me-ngongsikan dua kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 dengan kes pendakwaan pertama ialah Apo Barman, 37, seorang lelaki warganegara Bangladesh yang telah pun dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan penjara dan tiga kali sebatan kerana didapati bersalah melakukan empat kesalahan iaitu bagi kesalahan pertama di bawah Bab 5(1), Akta Imigresen, Penggal 17, masuk ke Negara Brunei Darussalam tanpa melalui pos kawalan yang diisytiharkan, kesalahan kedua di bawah Bab 6(1)(C), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas imigresen yang sah, kesalahan ketiga di bawah Bab 5(2), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu keluar dari Negara Brunei Darussalam tidak melalui pos kawalan yang diisytiharkan dan kesalahan keempat di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini.

    Kes berkenaan merupakan susulan daripada hasil tangkapan yang dilaksanakan daripada Operasi Kabat JIPK 91/2024 di kawasan sekitar Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Kuala Belait.

    Kes pendakwaan kedua ialah Suryani, lelaki berumur 57 tahun, warganegara Indonesia yang telah pun dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada sebatan atas kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

    Pegawai penguatkuasaan undang-undang semasa menjalankan pemeriksaan. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda