Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 23 DIS – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Bahagian penguatkuasaan undang-undang, Bandar Seri Begawan telah melaksanakan satu operasi Penguatkuasaan Undang-undang di bawah Operasi Kabat JIPK 2024 yang mana menyasarkan kiosk perniagaan di Mukim Pekan Tutong.
Operasi Kabat 140/2024 itu telah menjalankan pemeriksaan ke atas seorang warganegara asing yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.
Selain daripada itu, JIPK turut mengongsikan satu kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 di mana seorang warganegara Bangladesh berumur 30 tahun, Mohammad Omar Faruk telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan tiga kali sebatan bagi kesalahan di bawah Bab 15 (1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh. Hukuman bermula pada 5 Disember 2024.
JIPK juga mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888/8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).