BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seramai 13 warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut semasa Operasi Kabat 104/2024, baru-baru ini.
Operasi tersebut menyasarkan bilik-bilik sewa di Mukim Berakas dan Mukim Kianggih, di mana seramai 23 warganegara asing telah diperiksa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), lima daripada warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan juga kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.
Dua orang daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17 bagi kesalahan bekerja menggunakan pas lawatan.
Sementara itu, seorang daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.
Manakala itu, lima lagi individu gagal menyatakan dokumen asal dan dipercayai melakukan kesalahan Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 serta kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17.
Pihak JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).