Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat tahan 7 warga asing

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Tujuh warga asing telah ditahan dalam dua Operasi Kabat yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, Operasi Kabat 106/2024 yang dijalankan JIPK Bandar Seri Begawan menyasarkan sebuah bengkel kereta di Mukim Sengkurong dan restoran di Mukim Gadong B, di mana lima warga asing telah diperiksa kemudian ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Hasil pemeriksaan, dua orang daripada warga asing tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja menggunakan pas lawatan.

    Manakala, dua orang lagi daripadanya gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah pas imigresennya mansuh.

    Sementara itu, Operasi Kabat 107/2024 dijalankan oleh JIPK yang menyasarkan sebuah pondok kebun di Mukim Lamunin, di mana empat warga diperiksa dan dua daripadanya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang bagi siasatan lanjut.

    Pemeriksaan yang dijalankan oleh JIPK di sebuah bengkel kereta di Mukim Sengkurong. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    Pemeriksaan yang dijalankan di sebuah kebun di Mukim Lamunin. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK

    Hasil pemeriksaan tersebut, dua individu tersebut gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan juga dipercayai melanggar Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 dan Peraturan 15 (2), Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.

    Selain daripada itu, JIPK turut mengongsikan satu pendakwaan yang telah dijalankan di jalankan di bawah Akta Pasport, Penggal 146 di mana Sarip, lelaki berumur 28 tahun, warganegara Indonesia, telah pun dijatuhkan hukuman denda sebanyak $2,500 atas kesalahan di bawah Bab 12(1)(a), Akta Pasport, Penggal 146 iaitu mengubah endorsemen pas kerja tanpa kebenaran.

    Kegagalan individu untuk membayar denda berkenaan menjadikan hukuman penjara selama 12 minggu bermula dari hari pertama individu direman pada 1 Oktober lalu.

    Pendakwaan telah pun dijalankan oleh pegawai pendakwa JIPK, Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin dan dibuat di hadapan Majistret Abdul Azim bin Othman.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda