BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dua orang warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang bagi siasatan lanjut semasa Operasi Kabat 93/2024, baru-baru ini.
Operasi tersebut menyasarkan bilik-bilik sewa di Mukim Pengkalan Batu dan sebuah kedai di Mukim Gadong B, di mana sembilan orang warga negara asing telah diperiksa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), di sini, seorang daripada warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh dan juga kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal.
Manakala itu, seorang lagi daripada warganegara asing berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja tidak mengikut apa yang tercatat di dalam pasport.
Pihak JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi ke talian hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau 8984111 (Kuala Belait).