Monday, July 8, 2024
33.1 C
Brunei

    -

    Ops Kabat tahan empat warga asing

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Empat orang warganegara asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU) untuk siasatan lanjut semasa tiga Operasi Kabat berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) di Bandar Seri Begawan dan Kuala Belait, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, Operasi Kabat 75/2024 telah menyasarkan pada projek membaiki atap di sebuah rumah di Mukim Belait di mana empat orang warga asing diperiksa.

    Dua daripadanya telah ditahan dan dibawa ke BPU bagi siasatan lanjut, yang mana salah seorang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja dengan majikan lain dan seorang lagi dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 35(1), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu mengambil bekerja tanpa pengetahuan majikan asal.

    Sementara itu, pemeriksaan dalam Operasi Kabat 76/2024 yang dijalankan di Mukim Berakas B pula telah menahan seorang warga asing kerana gagal mengemukakan dokumen asal dan dipercayai melakukan kegiatan berjaja dari rumah ke rumah.

    Manakala itu, Operasi Kabat 79/2024 menyasarkan Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu, Temburong di mana seorang warganegara asing yang diperiksa telah ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 3(1), Akta Pasport, Penggal 146 iaitu tidak melapor diri kepada pegawai imigresen yang bertugas dan juga Bab 61(1)(c), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tidak mempunyai sebarang pas imigresen.

    Dalam pada itu, JIPK dalam kenyataannya turut mengongsikan kes pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu Nurul Nabilah binti Abdullah Merayan @Michelle anak Merayan, warga Malaysia berumur 27 tahun yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan di bawah Bab 6(1)(c), Akta Imigresen, Penggal 17 dan Bab 5(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu masuk ke negara ini tanpa menggunakan pos kawalan yang diisytiharkan.

    Perempuan itu dijatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda sebanyak $800 sebagai gantian kepada hukuman sebat.

    Walau bagaimanapun, individu berkenaan gagal membayar jumlah gantian kepada sebatan tersebut dan menjadikan hukuman penjara selama empat bulan.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Abdul ‘Azmi bin Othman dan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa JIPK, Awang Muhammad Zul Azri bin Haji Ranee.

    Pegawai BPU semasa menjalankan Operasi Kabat 75/2024. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK
    GAMBAR SERAHAN JIPK

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6 skala Richter landa Jepun

    KUALA LUMPUR, 8 JULAI - Satu gempa bumi kuat berukuran enam pada skala Richter dikesan berlaku di Kepulauan Bonin, Jepun pada jam 4.01 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia...