Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kabat tahan seorang warga asing

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seorang warga asing telah ditahan dalam Operasi Kabat yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), baru-baru ini.

    Operasi Kabat 95/2024 telah menyasarkan ke atas sebuah rumah di Mukim Kilanas di mana warga asing tersebut telah diperiksa yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Pengkuatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.

    Individu tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu bekerja bukan dengan majikan asal dan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

    Selain daripada itu, JIPK turut mengongsikan satu pendakwaan yang telah dijalankan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17 di mana Thi Lai Vo, perempuan berumur 36 tahun, warganegara Vietnam, telahpun dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda $1,000 sebagai gantian sebat bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17.

    Kegagalan individu untuk membayar denda berkenaan menjadikan hukuman penjara selama empat bulan.

    Pendakwaan telah pun dijalankan oleh pegawai pendakwa JIPK, Hadiyatul Majeedah binti Awang Usin dan dibuat di hadapan Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni.

    Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi terus hotline JIPK di talian 8734888 atau 8753888 (Bandar Seri Begawan) dan 8984111 (Kuala Belait).

    Pegawai penguat kuasa membuat pemeriksaan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda