Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Karen: SPRM bongkar jenayah terancang libat kerugian RM247 juta

    PUTRAJAYA, 22 SEPT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket rasuah, penyeludupan minyak diesel serta pengubahan wang haram di Sabah dan Sarawak melalui siri operasi khas Ops Karen 1.0 hingga 3.0 yang dijalankan bermula dari 2 hingga 8 September lepas.
     
    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kegiatan jenayah terancang itu dipercayai menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.
     
    Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) diketuai SPRM bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Laut.
     
    “Seramai 21 anggota Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) ditugaskan untuk melaksanakan serbuan berisiko tinggi itu dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan helikopter dan bot tempur bagi memintas pergerakan kapal. 
     
    “Kira-kira 100 pegawai SPRM turut digerakkan bagi menjayakan operasi berkenaan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. 
     
    Hasil operasi itu, katanya enam orang termasuk dua bergelar Datuk ditahan, iaitu empat pengarah dan dua pengurus syarikat yang memiliki lesen sah pembekalan minyak diesel kerana telah menyalahgunakan lesen itu untuk tujuan penyeludupan.  – Bernama
     
    Azam Baki menjelaskan mengenai Ops Karen pada 22 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda