Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kelinga: 5 kesalahan dikesan

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Lima kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 telah didapati semasa Operasi Kelinga 206/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, cawangan Belait di kawasan Jalan Sungai dan Jalan Pretty, Kuala Belait, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, semasa pemeriksaan di Jalan Sungai, dua kesalahan telah didapati dilakukan oleh majikan iaitu di bawah Bab 65, melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan, dan Bab 70 gagal memberikan cuti hari kelepasan awam.

    Pemeriksaan yang telah dijalankan di Jalan Pretty pula telah mendapati tiga kesalahan iaitu di bawah Bab 65, Bab 82 gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas, dan Bab 112(2) kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing, di mana pekerja berjawatan sebagai buruh didapati melakukan pekerjaan sebagai juruwang.

    Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika didapati bersalah, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan itu, Jabatan Buruh mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Operasi Kelinga tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Pegawai penguatkuasa semasa melakukan pemeriksaan baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    Gambar serahan Jabatan Buruh

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda