Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ops Kelinga dapati 2 majikan lakukan kesalahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahana Jabatan Buruh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Dua majikan telah dipercayai melakukan kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 semasa Operasi Kelinga 90/2023 dan 91/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan Kampung Pangkalan Batu dan Kampung Kiulap pada malam 2 Mei lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, di sini, operasi itu bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Jabatan Buruh menyatakan, pemeriksaan di lokasi pertama yang dijalankan ke atas kegiatan bengkel kereta di Kampung Pangkalan Batu, mendapati majikan telah melakukan tiga kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 iaitu Bab 10, gagal menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 112 (1), menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dan Bab 112 (2) bagi kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana pekerja berjawatan buruh membuat pekerjaan mekanik kereta.

    Sementara itu, pemeriksaan yang dijalankan di lokasi kedua ke atas kegiatan kedai restoran di Kampung Kiulap, mendapati majikan melakukan tiga kesalahan di bawah Bab 10, Bab 82 iaitu gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas dan Bab 112 (2), di mana pekerja berjawatan pembantu dapur membuat pekerjaan juruwang.

    Jabatan Buruh menyatakan bahawa bagi kesemua kesalahan, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun berkenaan, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Manakala bagi kesalahan jawatan amah, jika sabit kesalahan, majikan asal dan majikan yang menggaji boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $300 bagi kesalahan pertama dan $600 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun berkenaan, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.

    Para majikan dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar mana-mana kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Pihak penguat kuasa semasa menjalankan Operasi Kelinga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda