Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Jab. Buruh
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Lima kesalahan telah dikesan semasa Operasi Kelinga 144/2023 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh di Kampung Batu Marang dan Kampung Sengkurong baru-baru ini, yang bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Menurut kenyataan dikeluarkan di sini kelmarin, pemeriksaan di Kampung Batu Marang mendapati satu kesalahan iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan lesen pekerja asing di tempat kegiatan yang diisytiharkan oleh majikan adalah tidak selaras.
Di Kampung Sengkurong pula, majikan didapati melakukan kesalahan kerana gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan.
Manakala bagi pemeriksaan ketiga yang telah dijalankan di kampung yang sama mendapati tiga kesalahan dilakukan oleh majikan tidak menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, gagal mendapatkan kebenaran tempat pekerjaan dan gagal membuat penyusunan semula penempatan pekerja tambahan serta menggaji pekerja asing tanpa kebenaran daripada Pesuruhjaya Buruh.
Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua.
Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan majikan diingatkan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan juga dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

Ikuti berita lanjut dalam Edisi Isnin (Media Permata)

