Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Tujuh buah syarikat telah dikenakan denda kompaun semasa Operasi Kemas yang dijalankan oleh pihak Autoriti Perancang, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) di Mukim Sengkurong, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPBD, empat buah syarikat telah dikenakan denda kompaun kali pertama dan tiga lagi dikenakan denda kali kedua di bawah Peraturan-peraturan Perancangan Bandar dan Desa (Komposisi Kesalahan), 2018 kerana gagal menyelaraskan kesemua kegiatan dan kemajuan yang pernah diberikan amaran oleh pihak Autoriti Perancang.
Kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah meletakkan, menggunakan,
menghalang, mempamerkan barang-barang di kawasan letak kenderaan, kawasan kaki lima dan kawasan landskap di premis perniagaan di tempat syarikat-syarikat berkenaan beroperasi.
Syarikat-syarikat berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda tersebut.
Pihak Autoriti Perancang melalui JPBD, Kementerian Pembangunan mengingatkan orang awam, pemilik-pemilik perniagaan dan perusahaan untuk mematuhi undang-undang perancangan dengan mendapatkan Kebenaran Perancangan bagi setiap kemajuan dan penggunaan tanah.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi hotline JPBD di talian 8200222.



