Ops Langis: Dua lagi dicekup

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Dua orang warga asing telah ditahan dalam Operasi Langis yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) Bandar Seri Begawan yang menyasarkan dua lokasi di kawasan Mukim Berakas B, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, operasi berkenaan menyasarkan kedai makan dan tempat tinggal pekerja asing di kawasan Mukim Berakas B, di mana seorang lagi warga asing juga diarahkan tampil untuk siasatan lanjut.

Kenyataan menjelaskan, semasa pemeriksaan di kedai makan, seorang perempuan warga asing telah ditahan di bawah kesalahan dalam Bab 55(4)(a)(b)(c) Akta Imigresen Penggal 17 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan juga dipercayai melanggar peruntukan Peraturan 15 (2) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja dengan berlainan majikan.

Seorang lelaki warga asing di kedai makan berkenaan turut diarahkan untuk hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, satu surat panggilan majikan telah dikeluarkan kepada pemilik kedai makan tersebut bagi tujuan melaporkan diri ke bahagian penguatkuasaan tersebut untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam pemeriksaan di bahagian atas kedai makan tersebut iaitu tempat tinggal pekerja asing, pihak penguat kuasa telah menahan seorang lelaki warga asing atas kesalahan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c) kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan juga dipercayai melanggar peruntukan Bab 15 (1) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa setelah kebenaran pas imigresen mansuh.

Kedua-dua warga asing berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan untuk disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya.

Pemeriksaan berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melaksanakan secara berterusan pemantauan, operasi dan pemeriksaan berpandukan kepada maklumat yang ada sama ada secara bersendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 di mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Salah seorang warga asing yang disiasat oleh pegawai JIPK semasa Operasi Langis kelmarin. – Gambar serahan JIPK